Malam Irama Nasyid MAKUM 2026
Pulau Pinang, 14 April 2026 - Dewan Tuanku Syed Putra USM menjadi saksi kejayaan UPM dalam pertandingan Malam Irama Nasyid MAKUM 2026. Pertandingan berprestij ini telah berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan semangat kesenian Islam.
Hasil sinergi yang erat antara Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Universiti Putra Malaysia (UPM), dalam skop persediaan rapi kumpulan nasyid Putra Nahwan sebagai wakil rasmi UPM telah membuahkan kejayaan yang amat membanggakan.
Pertandingan yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang selaku tuan rumah ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM).
Dalam pertandingan tersebut, Putra Nahwan (UPM) telah menampilkan persembahan yang mantap dari segi vokal, susunan muzik serta penghayatan lirik, sekali gus berjaya memikat hati para juri dan penonton.
Kemuncak kejayaan menyaksikan Universiti Putra Malaysia (UPM) dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Malam Irama Nasyid MAKUM 2026, sekali gus mengharumkan nama universiti di peringkat kebangsaan.
Keputusan Penuh Pertandingan:
Persembahan Terbaik: Putra Nahwan (UPM)
Tempat Kelima: CG Malaya (UM)
Tempat Keempat: Simfoni Arkana (UIAM)
Tempat Ketiga: Intracksee (USIM)
Naib Johan: Insof (UNIMAP)
Johan: Putra Nahwan (UPM)
Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan keunggulan bakat seni mahasiswa UPM, malah menjadi simbol kecemerlangan dalam memartabatkan seni nasyid sebagai medium dakwah dan pembangunan sahsiah.
Tahniah diucapkan kepada seluruh warga kerja, staf PKKSSAAS dan BHEP serta para peserta dan alumni UPM yang telah bertungkus-lumus merpersiapkan kumpulan Putra Nahwan secara keseluruhan dalam penyertaan ini. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada pencapaian yang lebih gemilang pada masa hadapan.