Festival Zapin MAKUM 2026 Melabuhkan Tirai dengan Penuh Gemilang di UPM
SERDANG, 6 Jun 2026 – Festival Zapin Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Jun 2026 telah melabuhkan tirainya dengan penuh gilang-gemilang di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM). Program ini berjaya dianjurkan oleh Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia MAKUM.
Penganjuran festival yang menghimpunkan kumpulan-kumpulan seni tari terbaik daripada universiti awam seluruh negara ini bertujuan memartabatkan seni warisan Melayu, khususnya tarian zapin, di samping menjadi platform kepada mahasiswa untuk mengetengahkan bakat, kreativiti dan penghayatan terhadap budaya tradisional.
Pada pertandingan akhir yang berlangsung dengan penuh sengit, Kumpulan Gemalai Qarma Dansa dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya dinobatkan sebagai Johan Festival Zapin MAKUM 2026 menerusi persembahan yang mantap dari aspek teknik, kreativiti dan penghayatan.
Tempat Naib Johan disandang oleh Kelab Senitari Adimastuli dari Universiti Putra Malaysia (UPM), manakala Kumpulan Kesenian Universiti Malaya (KESUMA) dari Universiti Malaya (UM) berjaya meraih Tempat Ketiga.
Sementara itu, Kelab Tari Destar Limar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menduduki Tempat Keempat, diikuti oleh Kumpulan Kesenian Adikarma dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang memperoleh Tempat Kelima.
Selain anugerah utama, beberapa anugerah khas turut dipertandingkan bagi mengiktiraf kecemerlangan dalam aspek tertentu. Anugerah Koreografi Terbaik telah dimenangi oleh Kumpulan Gemalai Qarma Dansa (UiTM), manakala Anugerah Busana Terbaik menjadi milik Kumpulan Lestari Warisan (Le Waris) dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Bagi kategori Anugerah Tatarias Terbaik, pengiktirafan diberikan kepada Kumpulan Kesenian Universiti Malaya (KESUMA) atas keunikan dan kesesuaian tatarias yang berjaya menyerlahkan konsep persembahan mereka.
Dalam pada itu, Kelab Tari Destar Limar (UPSI) turut menerima Anugerah Khas Komitmen sebagai penghargaan terhadap dedikasi, semangat berpasukan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan sepanjang festival berlangsung.
Keputusan Rasmi Festival Zapin MAKUM 2026
Anugerah Utama
* Johan – Universiti Teknologi MARA (UiTM) – Kumpulan Gemalai Qarma Dansa
* Naib Johan – Universiti Putra Malaysia (UPM) – Kelab Senitari Adimastuli
* Tempat Ketiga – Universiti Malaya (UM) – Kumpulan Kesenian Universiti Malaya (KESUMA)
* Tempat Keempat – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) – Kelab Tari Destar Limar
* Tempat Kelima – Universiti Sains Malaysia (USM) – Kumpulan Kesenian Adikarma
Anugerah Khas
* Anugerah Koreografi Terbaik – Universiti Teknologi MARA (UiTM) – Kumpulan Gemalai Qarma Dansa
* Anugerah Busana Terbaik – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) – Kumpulan Lestari Warisan (Le Waris)
* Anugerah Tatarias Terbaik – Universiti Malaya (UM) – Kumpulan Kesenian Universiti Malaya (KESUMA)
* Anugerah Khas Komitmen – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) – Kelab Tari Destar Limar
Majlis ini bertambah berseri dengan kehadiran YBhg. Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi JPT, KPT yang telah menyampaikan ucapan perasmian penutup FESZAM 2026 sekaligus menyempurnakan sesi penyampaian anugerah bersama-sama YBhg. Dato Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah FASc, Naib Canselor UPM dan YBhg. Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembanguna Pelajar & Alumni) USM merangkap Pengerusi MAKUM.
Kejayaan penganjuran Festival Zapin MAKUM 2026 membuktikan bahawa seni warisan Melayu terus mendapat tempat dalam kalangan generasi muda serta berupaya menjadi medium penyatuan mahasiswa universiti awam di Malaysia. Festival ini diharapkan akan terus menjadi wadah penting dalam melestarikan dan memperkasakan seni budaya warisan negara untuk generasi akan datang.