Bengkel Seni Pentas KOSASS
5 April 2026 – Seramai 30 pelajar telah menyertai Bengkel Seni Pentas KOSASS yang berlangsung di Dewan Kenyalang, Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS), Universiti Putra Malaysia hari ini.
Program anjuran Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Majlis Perwakilan Kolej (MPK) KOSASS sesi 2025/2026 ini diadakan dengan kerjasama Kesatuan Mahasiswa, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan disokong kukuh oleh Geran Pemerkasaan Seni dan Budaya dari Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS).
Bengkel yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai asas seni pementasan teater, di samping meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran komunikasi melalui aktiviti lakonan dan persembahan di pentas.
Perasmian program telah disempurnakan oleh Pengarah PKKSSAAS ,Encik Husalshah Rizal Hussian, manakala sesi ceramah dan latihan dikendalikan oleh Encik Nawfal bin Mohd Zamri, pensyarah karywan tamu dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk sesi pengenalan, latihan asas teater, serta aktiviti praktikal berkumpulan yang membolehkan mereka mengaplikasikan teknik lakonan secara langsung.
Penganjuran bengkel ini dilihat memberi impak positif kepada pelajar dengan membantu membentuk semangat kerja berpasukan, disiplin diri serta meningkatkan kreativiti dalam kalangan peserta. Selain itu, program ini turut menyemai penghargaan terhadap seni dan budaya sebagai medium penyampaian mesej sosial dan pendidikan melalui kesenian teater.
Secara keseluruhannya, penganjur berharap program seumpama ini dapat melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja berpengetahuan dalam bidang akademik, malah turut mempunyai nilai tambah dalam seni kebudayaan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan universiti dan masyarakat.